Tuesday 8 October 2013

Kepentingan Kesantunan Berbahasa

Tegak rumah kerana sendi
Runtuh sendi rumah binasa
Sendi bangsa ialah budi
Runtuh budi runtuhlah bangsa.

Salah satu kepentingan kesantunan berbahasa dalam kehidupan adalah untuk mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara kita. Masyarakat yang berbudi bahasa akan saling menghormati tidak kira apa-apa jua warna kulit ataupun status individu tersebut. Apabila wujudnya sikap saling menghormati, masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan sejahtera walaupun hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya, adat dan kepercayaan. Dalam pada itu, perselisihan faham antara kaum seperti peristiwa hitam 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Ulang tahun kemerdekaan yang ke-51 iaitu pada tahun 2008 yang bertemakan ‘Perpaduan Teras Kejayaan’ jelas menunjukkan betapa  pentingnya perpaduan kaum dalam negara kita yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Pepatah ada menyatakan ‘bersatu teguh, bercerai roboh’. Justeru apabila masyarakat bersatu, negara dapat berkembang dengan maju dan anasir-anasir luar tidak dapat menggugat kestabilan negara dengan mudah.

Selain itu, kesantunan bahasa penting kepada remaja kerana mereka merupakan generasi pelapis yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara. Hal ini menjadikan betapa pentingnya remaja sebagai modal insan minda kelas pertama yang akan memimpin bangsa dalam mencapai kemajuan negara pada masa yang akan datang. Sehubungan itu, pembentukan perangai dan budi bahasa yang mulia penting kepada mereka sebagai panduan untuk menjalani kehidupan. Nilai-nilai murni seperti bersopan santun, hormat-menghormati dan sebagainya perlu diamalkan sejak kecil. Remaja yang berperibadi mulia dapat menjauhkan diri daripada kancah gejala sosial dan kerosakan akhlak kerana mereka sedar akan keburukan tindakan tersebut.

Di samping itu, disingkap dari perspektif masyarakat pula, budi bahasa dapat menjalinkan silaturrahim dan ukhuwah yang rapat antara jiran. Kini, manusia semakin ghairah dalam mengejar kemajuan dunia yang moden, sehingga perhubungan dengan komuniti sekeliling menjadi tidak penting lagi. Budaya kunjung-mengunjungi, gotong-royong dan kenduri yang merupakan warisan nenek moyang sudah mula goyah di sesetengah kawasan. Sebenarnya, budi bahasa harus dijadikan asas untuk membentuk semangat kejiranan, seterusnya merapatkan hubungan antara satu sama lain. Bertegur sapa dengan jiran tidak memadai untuk mengekalkan persahabatan sekiranya kita tidak mengamalkan sikap tolong-menolong, bekerjasama, dan toleransi.

Budi pekerti yang mulia mampu memajukan sektor pelancongan negara. Mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5, Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pernah berkata, "Apabila pelawat datang, kita kena senyum kepada mereka. Apabila mereka bertanya jalan, kita kena tunjuk jalan dan apabila mereka bertanya sesuatu, kita harus menjawab secara sopan." Pelancong asing wajar dilayan dengan sopan supaya mereka mempunyai pandangan yang baik terhadap negara kita. Rakyat harus sentiasa mengamalkan sifat senyum selalu kerana sifat ini dapat memberi tanggapan positif kepada seseorang bahawa kedatangannya dialu-alukan. Di samping itu, sektor pelancongan yang rancak akan mempercepat aliran mata wang asing, sekali gus menjana ekonomi negara. Strategi tersebut dianggap sebagai 'langkah serampang dua mata' kerana kita juga akan memperoleh faedah apabila negara menjadi maju dan makmur.